Pada suatu awal pagi, dalam sebuah kereta api komuter di bandar London yang penuh sesak, seorang penumpang menolak penumpang lain yang menghalang jalannya. Biasanya orang akan menganggap ini suatu hari yang buruk dan perkara seperti ini selalunya dibiarkan begitu sahaja. Tetapi sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Seorang pengurus perniagaan menghantar mesej kepada para kawannya di media sosial, “Cuba teka siapa yang datang untuk temu duga.” Apabila dia memberikan jawapan di internet, semua orang tersenyum. Cuba bayangkan anda menghadiri temu duga dan mendapati bahawa orang yang anda tolak serta caci pada pagi tadi, datang memberi salam kepada anda.
Saulus juga tidak menjangka dia akan bertemu dengan Tuhan. Apabila dia giat berusaha untuk menangkap pengikut-pengikut Yesus (Kisah Rasul 9:1-2), tiba-tiba cahaya yang memancar dari langit menyebabkannya jatuh ke tanah. Kemudian dia mendengar suara berkata, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?” (ayat 4). “Tuhan menjawab, ‘Aku Yesus yang engkau aniaya’ ” (26:15).
Beberapa tahun sebelumnya, Yesus berkata bahawa cara kita melayani mereka yang lapar, haus, orang asing dan yang berada di dalam penjara, akan mencerminkan perhubungan kita dengan-Nya (Matius 25:35-36). Siapakah pernah terfikir bahawa apabila seseorang mencaci kita, atau apabila kita menolong atau melukai hati seseorang, kita sebenarnya melakukannya ke atas Tuhan yang mengasihi kita.