Pada musim sejuk yang lalu, semasa saya melawat sebuah muzium sejarah semula jadi di Colorado, Amerika Syarikat, saya mempelajari banyak fakta yang menakjubkan tentang pokok aspen. Seluruh kawasan pokok aspen yang tinggi dan mempunyai batang berwarna putih, sebenarnya bertumbuh daripada satu biji benih dan berkongsi sistem akar yang sama. Sistem akar ini boleh hidup selama beribu-ribu tahun, walaupun tidak menghasilkan pokok. Akar ini terbenam di bawah tanah, menantikan kebakaran, banjir, atau runtuhan salji untuk memberi ruang kepada akar ini di hutan. Selepas berlakunya bencana alam yang membersihkan tanah, akhirnya akar pokok aspen akan mula mengesan pancaran matahari. Kemudian akar akan menghasilkan anak pokok yang akan bertumbuh menjadi sebatang pokok.
Untuk sebatang pokok aspen, pertumbuhan baru akan terjadi selepas berlakunya bencana alam semula jadi. Yakobus menulis bahawa pertumbuhan iman kita juga akan berlaku dalam masa pencubaan. “Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan, kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan, dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu tabah menanggung penderitaan. Pastikan supaya ketabahan kamu untuk menanggung penderitaan itu berterusan, sehingga kamu menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun” (Yakobus 1:2-4).
Pada masa cubaan, kita akan mendapati diri sukar untuk berasa bahagia. Namun kita mempunyai harapan dengan mengetahui bahawa Tuhan akan menggunakan masa sukar untuk menjadikan kita matang. Seperti pokok aspen, iman bertumbuh pada masa cubaan, apabila segala kesukaran akan membersihkan ruang dalam hati kita, agar cahaya Tuhan dapat menyinari kita.
Cubaan dan ujian semakin merapatkan kita dengan Tuhan.