Saya terbaca mengenai peraturan lima minit yang digunakan oleh seorang ibu untuk anak-anaknya. Sebelum bertolak ke sekolah setiap hari, mereka akan berkumpul selama lima minit.
Mereka akan berkumpul di sekeliling ibu mereka, dia pun berdoa untuk setiap anak dengan menyebut nama mereka masing-masing agar Tuhan memberkati mereka sepanjang hari. Kemudian dia akan memberi mereka satu kucupan, lalu mereka pun pergi ke sekolah. Anak-anak jiran mereka juga akan menyertai kumpulan doa tersebut jika mereka berada di sana pada masa itu. Bertahun-tahun kemudian, salah seorang anak jiran tersebut memberitahu bahawa melalui pengalaman ini, dia mempelajari betapa pentingnya doa dalam kehidupan seharian.
Penulis Mazmur 102 tahu kepentingan doa. Mazmur ini dianggap sebagai, “Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN.” Dia berseru, “Dengarlah doaku, ya TUHAN, … dan jawablah permintaanku dengan segera” (ayat 1-3). Tuhan telah memandang ke bawah “dari tempat-Nya yang suci, Dia memandang dari syurga ke bumi” (ayat 20).
Tuhan mengasihi anda dan mahu mendengar daripada anda. Sama ada anda mengikuti peraturan lima minit untuk berdoa dan meminta berkat setiap hari, atau memerlukan lebih banyak masa untuk berseru kepada Dia dalam kesusahan anda, bercakaplah dengan Tuhan setiap hari. Contoh yang anda tunjukkan mungkin akan memberi pengaruh besar kepada keluarga atau orang yang dekat dengan anda.
Doa adalah pengakuan bahawa kita memerlukan Tuhan.