Apabila saya dan suami berjalan-jalan sambil menghayati alam semula jadi, kami akan membawa kamera dan mengambil gambar tumbuhan yang ada di kaki kami dari dekat, seumpama alam kecil di dunia ini. Begitu menakjubkan kepelbagaian dan kecantikan yang kami lihat, termasuk kulat yang tumbuh semalaman menjadikan kayu pokok kelihatan dipenuhi titik-titik berwarna jingga, merah dan kuning yang terang!
Gambar kehidupan yang mengelilingi kami memberi inspirasi kepada saya untuk mengarahkan mata saya pada Pencipta yang mencipta, bukan sahaja cendawan-cendawan, tetapi juga bintang-bintang di langit. Dia mencipta satu dunia dengan skop yang tidak terhingga serta penuh kepelbagaian. Dia telah mencipta saya dan anda, dan meletakkan kita di tengah-tengah kecantikan ini untuk menikmati dan menguasainya (Kejadian 1:27-18; Mazmur 8:6-8).
Fikiran saya berpaling kepada salah satu “mazmur perkhemahan” keluarga kami—mazmur yang dibaca semasa kami duduk di sekeliling unggun api. “Ya TUHAN, Allah kami, keagungan-Mu terlihat di seluruh bumi! Sampai ke atas langit keagungan-Mu dipuji … Apabila aku melihat langit yang telah Engkau ciptakan, bulan dan bintang yang Engkau tempatkan, apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka? (Mazmur 8:2-5).
Betapa ajaibnya Tuhan Yang Maha Besar yang mencipta dunia penuh dengan segala keagungannya juga mengasihi anda dan saya!