Semasa kecil, anak lelaki saya, Xavier suka memberi saya bunga. Saya menghargai setiap rumpai yang dipetik atau bunga yang dibeli dari kedai bunga bersama ayahnya. Saya menghargai setiap pemberian itu sehingga ia menjadi layu dan terpaksa dibuang.
Pada suatu hari, Xavier menghadiahi saya sejambak bunga palsu. Dia tersenyum apabila dia menyusun bunga calla lily yang berwarna putih sutera, bunga matahari berwarna kuning, dan bunga hydrangea berwarna ungu dalam gelas kaca. “Lihat, Ibu,” dia berkata. “Bunga-bunga ini akan kekal untuk selama-lamanya. Itulah kasih saya kepada ibu.”
Sejak hari itu, anak saya sudah pun membesar menjadi seorang pemuda. Kelopak bunga sutera telah berbulu. Warnanya menjadi pudar. Namun, Bunga Abadi itu mengingatkan saya tentang kasih anak saya. Satu lagi perkara yang harus kita ingat—sesuatu yang betul-betul kekal selamanya, iaitu kasih Tuhan yang tiada penghujung dan tidak berkesudahan, apabila Dia menunjukkan firman-Nya yang pasti dan kekal selamanya (Yesaya 40:8).
Apabila umat Israel menghadapi cubaan yang berterusan, Yesaya menghiburkan hati mereka dan menyeru supaya mereka meletakkan keyakinan pada firman Tuhan yang berkekalan (40:1). Dia mengisytiharkan bahawa Tuhan mengampunkan dosa orang Israel (ayat 2), agar mereka meletakkan harapan pada Mesias yang akan datang (ayat 3-5). Mereka percaya kepada nabi kerana dia kekal fokus kepada Tuhan, dan bukan melihat keadaan semasa mereka.
Di dunia yang penuh dengan ketidakpastian dan masalah, cadangan manusia dan perasaan kita sentiasa berubah dan adalah terhad seperti hidup kita (ayat 6-7). Namun, kita boleh percaya kepada kasih Tuhan yang tidak pernah berubah dan sifat-Nya yang ditunjukkan dalam firman-Nya yang konsisten dan kekal.
Tuhan mengesahkan kasih-Nya melalui firman-Nya yang boleh dipercayai dan tidak berubah, dari sekarang sehingga selama-lamanya.