Semasa lawatan saya ke sebuah muzium di Chicago, saya melihat salah satu mural asli mengenai Striding Lions of Babylon, iaitu lukisan seekor singa garang dan bersayap yang sangat besar. Ia merupakan simbol Ishtar, iaitu dewi kasih dan peperangan Babilonia. Gambar singa ini agak serupa dengan 120 singa yang lain di sepanjang laluan utama kota Babilonia pada 604-562 sm.
Para sejarawan mengatakan bahawa selepas empayar Babilonia mengalahkan Yerusalem, para tawanan Yahudi pernah melihat singa-singa ini pada masa kerajaan Nebukadnezar. Mereka juga mengatakan sesetengah orang Israel berkemungkinan besar telah percaya bahawa Ishtar telah mengalahkan Tuhan Israel.
Daniel, seorang tawanan Yahudi, tidak berasa sangsi seperti sesetengah umat Israel. Pandangan dan komitmennya terhadap Tuhan tidak pernah berubah. Dia berdoa tiga kali sehari—dengan tingkapnya yang terbuka luas—walaupun dia mengetahui bahawa perbuatan ini akan mengakibatkannya dibuang ke dalam gua singa. Setelah Tuhan menyelamatkan Daniel daripada singa yang lapar, Raja Darius berkata, “[Allah Daniel adalah] Allah yang hidup, Dia memerintah selama-lamanya. … Dia menolong dan menyelamatkan” (Daniel 6:27-28). Ketaatan Daniel membolehkan dia mempunyai pengaruh yang besar ke atas para pemimpin Babilonia.
Walau apa pun tekanan dan kekecewaan yang kita mungkin hadapi, ketaatan kepada Tuhan boleh mengalakkan orang lain untuk memberi kemuliaan kepada Tuhan.
Ketaatan terhadap Tuhan memberi inspirasi kepada orang lain.