Saya sering berpendapat bahawa saya langsung tidak mampu melakukan tugas yang di hadapan. Sama ada mengajar di Sekolah Minggu, menasihati seorang kawan, ataupun menulis artikel untuk penerbitan ini. Cabaran sering kelihatan lebih besar daripada kemampuan saya. Seperti Petrus, masih banyak yang harus saya pelajari.
Perjanjian Baru mendedahkan kelemahan Petrus apabila dia cuba mengikut Tuhan. Semasa dia berjalan di atas air menuju kepada Yesus, Petrus mula tenggelam (Matius 14:25-31). Apabila Yesus ditangkap, Petrus bersumpah bahawa dia tidak mengenal Yesus (Markus 14:66-72). Tetapi kehidupan Petrus berubah selepas dia menemui Kristus yang telah bangkit dan mengalami kuasa Roh Kudus.
Petrus mula memahami bahawa “Dengan kuasa-Nya sendiri, Allah sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih … Allah yang telah memanggil kita untuk menikmati kemuliaan dan kebaikan-Nya sendiri.” (2 Petrus 1:3). Inilah pernyataan yang luar biasa daripada seseorang yang mempunyai begitu banyak kelemahan!
“Dengan cara ini [Tuhan] telah mengurniai kita berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya. Dengan berkat-berkat itu kamu terlepas daripada keinginan jahat yang membinasakan, yang terdapat di dunia ini, dan kamu menerima sifat Allah sendiri” (ayat 4).
Hubungan kita dengan Tuhan Yesus Kristus ialah sumber hikmat, kesabaran dan kekuatan yang kita perlukan untuk memuliakan Tuhan, menolong orang lain, dan berhadapan dengan cabaran hari ini. Melalui Dia, kita boleh mengatasi ketidakpastian dan ketidakmampuan kita.
Dalam setiap situasi, Dia telah memberikan kita segala sesuatu yang kita perlukan untuk melayani dan memuliakan Dia.