Seorang kawan berkongsi kepada saya bahawa dia telah mencari kesejahteraan dan kepuasan selama bertahun-tahun. Dia dan suaminya berhasil dalam perniagaan dan dapat membeli sebuah rumah besar, pakaian mewah, serta barang kemas yang mahal. Tetapi segala harta milik ini tidak memuaskan keinginan dalaman untuk kesejahteraan, demikian juga persahabatannya dengan orang yang berpengaruh. Kemudian pada suatu hari, apabila dia berasa kecewa dan terdesak, seorang kawan menyampaikan Berita Baik tentang Yesus kepadanya. Itulah saatnya dia menemukan Raja Damai, dan pemahamannya tentang kesejahteraan serta kepuasan yang benar telah berubah selama-lamanya.

Yesus mengucapkan kata-kata sejahtera ini kepada kawan-kawan-Nya selepas perjamuan terakhir bersama (Yohanes 14), apabila Dia mempersiapkan mereka untuk peristiwa yang berturutan: kematian-Nya, kebangkitan dan kedatangan Roh Kudus. Dengan menghuraikan kesejahteraan yang tidak mungkin diberikan oleh dunia ini, Dia mahu mereka belajar untuk menemukan kesejahteraan walaupun di tengah-tengah kesengsaraan.

Pada kemudian harinya, apabila Yesus yang sudah bangkit bertemu dengan para pengikut-Nya yang takut selepas kematian-Nya, Dia memberi salam kepada mereka dengan berkata, “Salam sejahtera!” (Yohanes 20:19). Sekarang Dia dapat memberikan mereka, dan kita, suatu pemahaman baru tentang memiliki kesejahteraan dalam apa yang telah dilakukan-Nya untuk kita. Semasa kita berbuat demikian, kita dapat menemukan satu kesedaran tentang keyakinan yang jauh lebih dalam daripada perasaan kita yang selalu berubah-ubah.