Pada tahun ketiga dalam pergelutan melawan keputusasaan dan depresi akibat ketidakmampuan untuk bergerak dan kesakitan kronik, saya memberitahu kawan perempuan saya, “Badan saya sedang mengalami kemerosotan. Saya berasa bahawa saya tidak dapat melakukan sesuatu yang bernilai untuk Tuhan atau sesiapa pun.”
Dia meletakkan tangannya ke atas tangan saya. “Adakah kamu berkata bahawa tiada sebarang perubahan ketika saya memberi salam kepada kamu dengan senyuman atau mendengarkan kamu? Adakah kamu akan memberitahu saya bahawa semuanya adalah sia-sia ketika saya berdoa untuk kamu atau memberikan kata-kata dorongan?”
Saya menyandar pada kerusi. “Sudah tentu tidak.”
Dahinya berkerut. “Kalau demikian, mengapa kamu asyik membohongi diri kamu? Kamu melakukan semuanya untuk saya dan orang lain.”
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia mengingatkan saya bahawa tiada sesuatu pun yang kita lakukan untuk Tuhan adalah sia-sia.
Dalam 1 Korintus 15, Paulus meyakinkan kita bahawa tubuh kita mungkin sahaja lemah pada masa sekarang tetapi kita akan dibangkitkan dengan keadaan tubuh yang “cantik dan kuat” (ayat 43). Kerana Tuhan berjanji bahawa kita akan dibangkitkan melalui Kristus, kita boleh mempercayai bahawa Dia akan menggunakan setiap persembahan, setiap usaha kecil yang dilakukan bagi-Nya, untuk membawa perubahan dalam kerajaan-Nya (ayat 58).
Ketika kita lemah secara fizikal, satu senyuman, kata dorongan, doa, atau tindakan iman dalam kesusahan kita boleh digunakan untuk melayani anggota-anggota tubuh Kristus yang berlainan dan saling bergantung. Apabila kita melayani Tuhan, tiada kerja atau tindakan kasih yang terlalu sia-sia dan dianggap tidak bererti.