Doa ialah perbualan dengan Tuhan, bukannya satu formula. Namun ada kalanya kita mungkin memerlukan “kaedah” untuk menyegarkan masa doa kita. Kita boleh berdoa dengan membaca kitab Mazmur ataupun dengan ayat-ayat Alkitab lain (seperti Doa Bapa Kami), atau menggunakan kaedah ACTS (Adoration, Confession, Thanksgiving and Supplication—Pujian, Pengakuan, Pengucapan Syukur dan Permohonan). Baru-baru ini saya telah menemui kaedah “Doa Lima Jari” sebagai panduan apabila berdoa untuk orang lain:

•Apabila anda melipat tangan, ibu jari adalah yang paling dekat dengan anda. Oleh itu, berdoalah bagi mereka yang paling dekat dengan anda—orang yang anda kasihi (Filipi 1:3-5).

• Jari telunjuk adalah jari penunjuk. Berdoa bagi mereka yang memberi tunjuk ajar—Guru-guru Alkitab dan pengkhutbah, serta mereka yang mengajar anak-anak (1 Tesalonika 5:25).

• Jari seterusnya adalah yang paling panjang. Ia mengingatkan kita untuk berdoa bagi mereka yang mempunyai kuasa ke atas anda—para pemimpin kebangsaan dan awam, serta ketua di tempat kerja (1 Timotius 2:1-2).

• Jari keempat biasanya yang paling lemah. Berdoa bagi mereka yang sedang berada dalam kesusahan atau penderitaan (Yakobus 5:13-16).

• Kemudian yang terakhir adalah jari yang paling kecil. Ia mengingatkan anda betapa kecilnya diri anda apabila dibandingkan dengan kebesaran Tuhan. Mintalah Dia membekalkan segala keperluan anda (Filipi 4:6, 19).

Apa pun kaedah yang anda gunakan, bercakaplah dengan Tuhan Bapa. Dia mahu mendengar apa yang ada dalam hati anda.