Masalah berlaku semasa kehamilan Kelly sehingga menimbulkan kebimbangan para doktor. Ketika melalui kesukaran yang lama untuk melahirkan anak, mereka memutuskan untuk membuat pembedahan Caesarean. Namun selepas penderitaannya itu, Kelly dengan serta-merta melupakan kesakitannya apabila dia menggendong bayi lelakinya yang baru lahir. Sukacita telah menggantikan kesakitan.
Alkitab mengesahkan kebenaran ini: “Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia” (Yohanes 16:21). Yesus memberitahu ilustrasi ini kepada para pengikut-Nya untuk menekankan bahawa walaupun mereka akan berdukacita kerana Dia akan pergi tidak lama lagi, dukacita itu akan berubah menjadi sukacita kerana mereka akan melihat-Nya lagi (ayat 20–22).
Yesus merujuk kepada kematian dan kebangkitan-Nya—dan apa yang bakal menyusul. Selepas Dia hidup semula, demi sukacita para pengikut-Nya, Yesus memperuntukkan masa selama empat puluh hari untuk bersama dan mengajar mereka sebelum diangkat ke syurga, serta meninggalkan mereka sekali lagi (Kisah Para Rasul 1:3). Tetapi Yesus tidak meninggalkan mereka dengan kesedihan yang teramat sangat. Roh Kudus akan memenuhi mereka dengan sukacita (Yohanes 16:7–15; Kisah Para Rasul 13:52).
Walaupun kita tidak pernah bertemu muka dengan Yesus, namun sebagai orang percaya, kita mempunyai keyakinan bahawa suatu hari nanti kita akan bersemuka dengan-Nya. Ketika itu, kesakitan yang kita hadapi di dunia ini akan dilupakan. Tetapi sehingga saat itu, Tuhan tidak meninggalkan kita tanpa sukacita—Dia telah memberikan kita Roh-Nya (Roma 15:13; 1 Petrus1:8–9).