Dalam upacara pengebumian seorang bekas askar, seorang pengkhutbah berkata tentang tempat yang si mendiang itu mungkin sedang berada. Namun dia tidak memberitahu para hadirin di situ bagaimana mereka boleh mengenal Tuhan, sebaliknya dia membuat andaian tentang perkara-perkara yang tidak berdasarkan Alkitab. Saya berfikir, Di manakah harapan kita?

Akhirnya dia meminta kami menyanyikan lagu penutup. Ketika kami berdiri untuk menyanyikan “ How Great Thou Art” (Sungguh Besar Kau Allahku), semua orang mula memuji Tuhan dari lubuk hati. Selepas beberapa ketika, keadaan emosi semua orang di bilik itu berubah. Tiba-tiba, dengan secara mengejut, di tengah rangkap ketiga lagu itu, emosi saya tenggelam sehingga saya tidak dapat terus bernyanyi.

Saya merenungkan bahawa Tuhan sanggup memberikan Anak-Nya,
Dikorbankan demi manusia, tidak mungkin aku dapat melakukannya;
Ketika di atas kayu salib, dengan rela Dia memikul bebanku,
Darahnya mengalir dan mati untuk membuang dosaku.

Sebelum kami menyanyikan lagu yang hebat itu, saya tertanya-tanya jika Tuhan akan muncul dalam upacara pengebumian itu. Dalam realiti, Dia tidak pernah pergi. Jika kita membaca buku Ester, kebenaran ini akan terungkai. Masa itu orang Yahudi berada dalam pembuangan, dan orang yang berkuasa pula ingin membunuh mereka. Tetapi di tengah-tengah saat yang gelap itu, seorang raja yang tidak mempercayai Tuhan telah memberikan hak kepada orang Israel yang sedang dalam tawanan untuk mempertahankan diri terhadap orang yang mahu membunuh mereka (Ester 8:11–13). Maka tercetuslah sebuah perayaan ke atas kejayaan mereka atas pembelaan itu (9:17–19).

Tidak menghairankan apabila Tuhan muncul melalui seni kata lagu dalam upacara pengebumian. Bahkan lebih daripada itu, Dia mengubah komplot pembunuhan satu bangsa menjadi satu perayaan, serta penyaliban Yesus menjadi kebangkitan dan penyelamatan!