“Kita telah mencipta lebih banyak maklumat dalam lima tahun kebelakangan ini berbanding seluruh sejarah manusia sebelumnya, dan ia masih memberikan impak kepada kita pada setiap waktu” (Daniel Levitin, penulis buku, The Organized Mind: Thinking Straight in the Age of Information Overload). “Dari satu segi,” kata Levitin, “kita menjadi ketagih kepada rangsangan yang keterlaluan.” Kawalan yang rendah terhadap berita dan pengetahuan yang tidak putus-putus boleh menguasai minda kita. Dalam persekitaran hari ini yang menenggelami kita dengan maklumat media secara berlebihan, kesukaran bagi mencari masa untuk berdiam diri, berfikir dan berdoa semakin meningkat.

Mazmur 46:10 berkata, “Diamlah, dan ketahuilah Aku Allah,” mengingatkan kita bahawa kita perlu mengambil masa untuk memusatkan fikiran pada Tuhan. Banyak orang mendapati bahawa “masa sunyi” merupakan bahagian yang penting pada setiap hari—masa untuk membaca Alkitab, berdoa serta merenungkan kebaikan dan kebesaran Tuhan.

Seperti yang dikatakan oleh penulis Mazmur 46, apabila kita mengalami realiti bahawa “Allah Pelindung dan Pemberi kekuatan kepada kita, sentiasa sedia menolong pada waktu kesusahan” (ayat 1), ia akan membuang ketakutan kita (ayat 2), mengalihkan fokus kita daripada kekacauan dunia kepada damai sejahtera Tuhan, dan secara senyap membina keyakinan bahawa Tuhan kita adalah berkuasa atas segalanya (ayat 10).

Tidak mengira betapa huru-haranya dunia di sekeliling kita, kita boleh menemukan ketenteraman dan kekuatan dalam kasih dan kuasa Bapa syurgawi kita.