Ketika saya membuka mesin pembasuh pinggan mangkuk, saya berasa hairan tentang apa yang telah berlaku. Saya mendapati bukan sahaja pinggan dan gelas yang dimasukkan ke dalam mesin itu tidak bersih, tetapi semuanya dipenuhi dengan debu putih. Saya tertanya-tanya ini mungkin disebabkan oleh kualiti air di kawasan kami, ataupun disebabkan oleh kerosakan mesin tersebut.

Pembersihan Tuhan bukan seperti mesin pembasuh pinggan mangkuk yang bermasalah itu, Dia membersihkan semua kecabulan kita. Kita melihat dalam kitab Yehezkiel bahawa Tuhan memanggil umat-Nya kembali kepada-Nya ketika Yehezkiel menyampaikan mesej kasih dan pengampunan Tuhan. Orang Israel telah berdosa ketika mereka mengisytiharkan taat setia kepada tuhan dan bangsa lain. Bagaimanapun, Tuhan adalah berbelas kasihan kerana Dia menjemput mereka kembali kepada-Nya. Dia berjanji untuk membersihkan mereka “daripada segala kenajisan [mereka] dan daripada segala berhala [mereka]” (36:25). Ketika Dia menaruh Roh-Nya dalam batin mereka (ayat 27), Dia akan membawa mereka ke tempat yang pokok-pokoknya berbuah lebat, dan bukannya mendatangkan kebuluran (ayat 30).

Seperti zaman nabi Yehezkiel, pada hari ini Tuhan menjemput kita kembali kepada-Nya jika kita telah tersesat jalan. Ketika kita menyerahkan diri kepada kehendak dan jalan-Nya, Dia akan mengubah kita dengan membasuh kita sehingga bersih daripada noda dosa. Dengan Roh Kudus-Nya yang tinggal dalam batin kita, Dia menolong kita mengikut-Nya hari demi hari.