Semasa musim bunga dan musim panas, saya mengagumi buah yang membesar di halaman rumah jiran kami. Pokok anggur yang diusahakan mereka menjalar meliputi pagar yang kami berkongsi untuk menghasilkan gugusan-gugusan buah anggur yang besar. Ranting-ranting yang dipenuhi dengan plum berwarna ungu dan oren meruntai pada kedudukan yang boleh kami jangkau.

Walaupun kami tidak bercucuk tanam, menanam benih, menyiram ataupun merumput tanah tersebut, tetapi pasangan suami dan isteri yang tinggal di sebelah rumah kami sangat bermurah hati untuk berkongsi hasil tanaman mereka dengan kami. Mereka yang mengusahakan tanaman tersebut tetapi membenarkan kami turut menikmati bahagian tuaian mereka.

Hasil daripada pokok buah-buahan dan anggur di sisi pagar kami mengingatkan saya tentang tuaian lain yang memberi keuntungan kepada saya dan orang lain, iaitu orang yang telah ditempatkan Tuhan dalam hidup saya. Tuaian itu adalah buah-buah Roh.

Pengikut Kristus dituntut untuk hidup dengan kuasa Roh Kudus (Galatia 5:16–21). Sementara benih kebenaran Tuhan tumbuh dalam hati kita, Roh Tuhan memampukan kita mengekspresikan “kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri” dalam kehidupan (ayat 22–23).

Ketika kita menyerahkan hidup kepada Yesus, kita tidak perlu lagi dikuasai oleh kehendak hati yang hanya mementingkan diri (ayat 24). Dari semasa ke semasa, Roh Kudus mampu mengubah pemikiran, sikap dan tindakan kita. Sementara kita bertumbuh matang dalam Kristus, kita boleh memiliki sukacita saat kita mengasihi sesama manusia serta berkongsi manfaat yang dihasilkan daripada buah Roh Tuhan yang melimpah.