Pulau Lord Howe yang terletak di persisiran pantai timur Australia, adalah sebuah syurga kecil yang berpasir putih dengan air lautnya yang jernih. Ketika saya mengunjunginya beberapa tahun yang lalu, saya benar-benar kagum dengan keindahannya. Di situ, para pengunjung boleh berenang bersama dengan penyu dan gerombolan ikan yang bergerak mengikut arus lautan sambil memancarkan warna-warna neon seumpama sebuah papan iklan. Di dalam lagun lautan itu saya melihat terumbu karang yang penuh dengan ikan badut yang berwarna oren cerah dan ikan bagang yang bergaris kuning meluru ke arah saya untuk mencium tangan saya. Dengan diliputi keindahan seperti itu, saya tidak dapat berkata apa-apa selain menyembah Tuhan.

Rasul Paulus memberikan alasan untuk tindak balas saya itu. Ciptaan sangat jelas dalam menyatakan sifat Tuhan (Roma 1:20). Keajaiban Pulau Lord Howe telah memberikan sekilas pandang akan kuasa dan keindahan-Nya.

Ketika nabi Yehezkiel bersemuka dengan Tuhan, dia melihat Tuhan yang berkilau-kilauan duduk di atas takhta biru dikelilingi oleh warna gemilang (Yehezkiel 1:25–28). Rasul Yohanes turut melihat perkara yang serupa: Kilauan Tuhan adalah seperti batu permata yang berharga, dikelilingi pelangi yang bersinar seperti zamrud (Wahyu 4:2–3). Apabila Tuhan menampakkan diri-Nya, kita akan mendapati bahawa Dia bukan sahaja baik dan berkuasa tetapi juga indah. Ciptaan mencerminkan keindahan ini, seperti sebuah lukisan mencerminkan pelukisnya.

Alam semula jadi biasanya disembah dan bukannya Tuhan (Roma 1:25). Hal ini amat memilukan. Sungguhpun begitu, semoga air jernih dan kilauan makhluk bumi mengarahkan kita kepada Dia yang berdiri di sebalik semuanya itu, yang lebih berkuasa dan indah daripada apa pun di dunia ini.