Suami saya Jack kehilangan tenaga ketika sudah berlari kira-kira 40 kilometer dalam maraton yang sepanjang 41.8 kilometer.
Maraton ini merupakan larian pertamanya, dan dia berlari seorang diri. Selepas berhenti untuk minum air di stesen bantuan, dia berasa letih dan duduk di atas rumput bersebelahan laluan. Berminit-minit pun berlalu, tetapi dia tidak dapat bangun lagi. Maka dia pun mula berfikir untuk menarik diri daripada maraton tersebut. Itulah saatnya dua orang guru dari Kentucky yang pertengahan umur datang. Walaupun mereka orang asing, mereka memerhatikan keadaan Jack dan bertanya jika dia mahu berlari bersama dengan mereka. Tiba-tiba, dia mendapati tenaganya pulih semula. Jack pun bangun dan menghabiskan larian dengan ditemani oleh dua orang wanita tersebut.
Wanita-wanita yang mendorong Jack mengingatkan saya akan Harun dan Hur, iaitu dua sahabat yang menolong Musa, yakni pemimpin bangsa Israel mereka pada saat penting (Keluaran 17:8-13). Masa itu orang Israel diserang. Dalam pertempuran, mereka hanya akan menang jika Musa mengangkat tongkat (ayat 11). Jadi, apabila Musa kehilangan tenaga, Harun dan Hur berdiri di sisi Musa, mengangkat tangannya sehingga matahari terbenam (ayat 12).
Kita tidak menempuh perjalanan untuk mengikut Tuhan seorang diri. Tuhan tidak mencipta kita untuk berlari sendirian dalam perlumbaan hidup ini. Pengiring-pengiring dapat membantu kita teguh melalui kesusahan apabila kita mentaati apa yang disuruh Tuhan untuk kita lakukan.