Adakah kita akan melihat ular?

Allan, seorang anak lelaki muda yang tinggal di kawasan kejiranan dengan kami, menanyakan soalan itu apabila kami mula mengembara berjalan kaki di tepi sungai berdekatan rumah kami.

“Kami tidak pernah melihat ular sebelum ini,” saya jawab, “tetapi kita mungkin akan menjumpainya! Jadi mari kita meminta perlindungan daripada Tuhan agar kita selamat.” Kami berhenti, berdoa bersama dan meneruskan perjalanan.

Beberapa minit kemudian isteri saya, Cari, tiba-tiba mundur ke belakang kerana dia nyaris berhadapan dengan ular kepala tembaga berbisa yang melingkari di bahagian jalan depan. Setelah kami menunggu ular itu meninggalkan laluan tersebut, kami berasa sungguh lega. Kemudian kami berhenti dan mengucap syukur kepada Tuhan kerana tiada apa-apa yang berlaku. Saya percaya melalui pertanyaan Allan, Tuhan telah mempersiapkan kami untuk pertemuan itu, dan doa kami merupakan sebahagian daripada perlindungan-Nya.

Bahaya yang hampir menimpa kami pada petang itu mengingatkan kami akan kata-kata Daud yang penting: “Carilah hadirat TUHAN dan kekuatan-Nya, carilah hadirat-Nya selalu.” (1 Tawarikh 16:11). Nasihat ini adalah sebahagian daripada Mazmur yang bergembira kerana Tabut Perjanjian kembali ke Yerusalem. Ia menceritakan kesetiaan Tuhan terhadap umat-Nya dalam pergelutan mereka sepanjang sejarah, dan mengingatkan mereka untuk sentiasa “bermegah dalam puji-pujian” kepada-Nya (ayat 35).

Apakah yang dimaksudkan dengan “carilah hadirat TUHAN?” Ia bermaksud kita mengubah hati kita kepada-Nya walaupun dalam saat-saat biasa. Kadangkala doa kita dijawab secara berlainan daripada yang kita minta, tetapi Tuhan kita tetap setia. Gembala kita yang baik akan menunjukkan jalan dan memelihara kita dalam belas kasihan, kekuatan dan kasih-Nya. Semoga kita menyatakan kebergantungan kita kepada-Nya.