Dia mempunyai bahagian yang lebih besar daripada saya!”
Semasa saya masih kanak-kanak, kami adik-beradik kadang-kadang berbalah tentang saiz kuih bakar buatan ibu sendiri yang dihidangkan kepada kami. Suatu hari, ayah memerhatikan telatah kami dengan mengangkat kening. Kemudian dia senyum kepada ibu sambil mengangkat pinggannya: “Sila beri saya sekeping kuih yang sebesar hati kamu.” Kami adik-beradik terpegun kerana ibu ketawa dan menawarkan bahagian kuih yang terbesar kepada ayah.
Jika kita memberi tumpuan kepada harta benda orang lain, maka perasaan iri hati pasti akan timbul. Namun firman Tuhan mengarahkan mata kita kepada sesuatu yang jauh lebih besar nilainya daripada harta benda duniawi. Pemazmur menulis, “Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu. Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu” (Mazmur 119:57-58). Dengan ilham daripada Roh Kudus, penulis menyampaikan kebenaran bahawa tiada apa-apa yang lebih penting daripada mendekatkan diri kepada Tuhan.
Apakah perkara yang lebih baik daripada memiliki sang Pencipta kita yang penuh kasih dan tidak terbatas? Tiada sesuatu pun di bumi ini yang sebanding dengan-Nya, dan tiada sesuatu pun yang boleh mengambil-Nya daripada kita. Hasrat hati manusia merupakan kekosongan yang semakin membesar; seseorang mungkin mempunyai “segala-galanya” di dunia ini, namun mereka masih hidup dalam kesengsaraan. Tetapi apabila Tuhan menjadi sumber kebahagiaan kita, maka kita benar-benar berpuas hati. Hanya Tuhan boleh mengisi kekosongan hidup kita. Dia sahaja yang dapat memberikan kita ketenangan yang sesuai dengan hati kita.
Dia adalah milik kita selama-lamanya.
Tuhan, Engkau telah menciptakan kami untuk kemuliaan-Mu. Hati kami yang gelisah hanya mendapat ketenangan dalam-Mu.
Augustine dari Hippo