Saya membesar di Minnesota, tempat yang terkenal dengan tasik-tasik yang indah. Di sana, saya suka pergi berkhemah untuk menikmati keajaiban ciptaan Tuhan. Namun tidur di dalam khemah yang nipis bukannya sebahagian daripada pengalaman yang saya gemari—terutamanya pada malam ketika hujan turun dan khemah bocor, ini menyebabkan beg tidur menjadi basah dan lembap.

Saya kagum apabila teringat akan kisah mengenai salah seorang wira iman kita yang telah menginap di dalam khemah selama seratus tahun. Ketika berusia 75 tahun, Abraham mendengar panggilan Tuhan untuk meninggalkan negaranya supaya Tuhan boleh membuat dia menjadi suatu bangsa yang baharu (Kejadian 12:1-2). Abraham telah mentaati dan mempercayai bahawa Tuhan akan menepati janji-Nya. Maka sepanjang hidupnya, sehinggalah dia meninggal dunia pada usia 175 tahun (Kejadian 25:7), dia telah meninggalkan negara asalnya dan tetap hidup di dalam khemah seperti pengembara.

Mungkin kita tidak mempunyai panggilan seperti Abraham yang menjalani kehidupan seperti nomad, tetapi walaupun kita mengasihi dan melayani dunia ini serta manusia yang ada di dalamnya, kita mungkin merindu untuk memiliki tempat kediaman sendiri, misalnya berakar umbi di bumi ini. Seperti Abraham, apabila angin meniup tempat perlindungan kita yang nipis atau ia ditimpa hujan, kita boleh berharap dengan iman untuk kota yang akan datang, yang “dibina dan dicipta oleh Allah” (Ibrani 11:10). Seperti Abraham, kita juga boleh berharap bahawa Tuhan sedang berusaha untuk memperbaharui ciptaan-Nya, Dia akan menyediakan sebuah “kota yang lebih baik, iaitu di syurga” pada masa akan datang (ayat 16).