Seorang lelaki bernama Refuge Rabindranath telah bekerja sebagai pekerja belia di Sri Lanka lebih daripada sepuluh tahun. Dia sering berinteraksi dengan para belia yang lain sehingga lewat malam—bermain dengan mereka, menjadi pendengar mereka, memberi kaunseling dan mengajar mereka. Dia gemar bekerja di kalangan orang muda, tetapi ada kalanya dia berasa kecewa apabila para pelajar yang cemerlang telah meninggalkan iman. Kadang-kadang dia berasa sedikit seperti Simon Petrus dalam Lukas 5.

Simon telah bekerja keras sepanjang malam tetapi tidak dapat menangkap apa-apa ikan (ayat 5). Dia berasa kecewa dan letih. Namun apabila Yesus menyuruh dia, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan” (ayat 4), Simon menjawab: “kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala” (ayat 5).

Kepatuhan Simon adalah luar biasa. Sebagai nelayan yang berpengalaman, dia tahu bahawa ikan-ikan akan beralih ke bahagian bawah tasik apabila matahari terbit, dan jala yang digunakan mereka tidak dapat menangkap ikan-ikan di kawasan perairan yang dalam.

Namun kerelaan mereka untuk mempercayai Yesus telah memberinya ganjaran. Simon bukan sahaja telah menangkap sejumlah ikan yang besar, dia juga dapat memahami dengan lebih mendalam tentang siapa sebenarnya Yesus. Dia telah berubah daripada memanggil Yesus sebagai “Tuan” (ayat 5) kepada “Tuhan” (ayat 8). Sesungguhnya, “mendengar” sering kali membolehkan kita melihat perbuatan-perbuatan Tuhan secara langsung dan dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Mungkin Tuhan sedang memanggil anda “tebarkan jalamu sekali lagi.” Semoga kita menjawab Tuhan sebagaimana yang dilakukan oleh Simon: “Kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala”.