Ini agak sukar bagi saya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anak buah perempuan saya sehari sebelum dia berpindah ke Massachusetts untuk mengambil kursus-kursus sarjana di Universiti Boston. Walaupun dia telah tinggal di luar selama 4 tahun sebagai seorang mahasiswi, dia tidak pernah meninggalkan negeri kami. Sebelum ini kami dapat bertemu dengan mudah kerana hanya perlu memandu selama dua jam setengah. Namun sekarang dia akan belajar di tempat yang kira-kira sejauh 1,300 kilometer. Kami tidak dapat bertemu secara tetap untuk berbual-bual dan bertanya khabar, bahkan saya perlu percaya bahawa Tuhan akan menjaga dia.

Paulus mungkin berasa sedemikian ketika dia mengucapkan selamat tinggal kepada para penatua gereja di Efesus. Setelah menubuhkan gereja dan mengajar mereka selama tiga tahun, Paulus menyimpulkan bahawa—hubungan dia dengan para penatua adalah rapat seperti ahli keluarganya sendiri. Kini oleh sebab Paulus akan menuju ke Yerusalem, maka dia tidak akan bertemu dengan mereka lagi.

Namun Paulus telah meninggalkan nasihat perpisahan kepada mereka di Efesus. Walaupun Paulus tidak dapat terus menjadi guru mereka, orang Efesus tidak perlu berasa terbiar. Tuhan akan terus melatih mereka melalui “perkhabaran tentang kasih kurnia Allah” (Kisah Para Rasul 20:32) untuk memimpin gereja. Tidak seperti Paulus, Tuhan sentiasa menyertai mereka.

Sama ada kanak-kanak yang sudah membesar atau ahli keluarga lain dan rakan-rakan yang akan berpindah—“selamat tinggal” boleh sahaja menjadi kata-kata yang sukar diluahkan. Mereka menjadi berdikari dan menuju kepada kehidupan yang baharu. Pada saat kita melepaskan tangan mereka, kita boleh percaya bahawa Tuhan akan memegang mereka dalam tangan-Nya. Dia boleh terus membentuk kehidupan dan memenuhi keperluan sebenar mereka—lebih daripada apa yang kita mampu lakukan.