Semasa menanggalkan tag harga daripada pakaian musim sejuk yang saya telah beli, saya tersenyum apabila terbaca ungkapan yang tertera di belakang baju tersebut: “AMARAN: Produk inovatif ini akan membuat anda ingin pergi ke luar rumah dan tidak ingin pulang.” Apabila mengenakan pakaian musim yang sesuai, seseorang boleh terus hidup dan bergiat maju meskipun dalam keadaan cuaca yang teruk dan kian berubah-ubah.
Prinsip yang sama juga dapat diamalkan dalam kehidupan rohani kita. Sebagai pengikut Yesus, almari pakaian rohani untuk semua musim kita telah ditentukan oleh Tuhan melalui firman-Nya, iaitu Alkitab. “ Karena itu, sebagai orang-orang pilihan Allah yang dikuduskan dan dikasihi-Nya, kenakanlah belas kasihan, kemurahan, kerendahan hati, kelemahlembutan dan kesabaran. … dan ampunilah seorang … sama seperti Tuhan telah mengampuni kamu” (Kolose 3:12-13, Alkitab TB, bentuk italik ditambah).
“Pakaian-pakaian” yang dibekalkan oleh Tuhan—seperti kemurahan hati, kerendahan hati, dan kelembutan, semua ini membolehkan kita menghadapi permusuhan dan kritikan dengan kesabaran, pengampunan dan kasih. Semua ini memberikan kita kuasa ketahanan dalam badai kehidupan.
Apabila kita menghadapi keadaan-keadaan yang sukar sama ada di rumah, sekolah, atau tempat kerja, “pakaian” yang kita diperintah oleh Tuhan untuk mengenakannya akan melindungi serta membolehkan kita membawa pengaruh yang positif. “Dan di atas semuanya itu: kenakanlah kasih, sebagai pengikat yang mempersatukan dan menyempurnakan” (Kolose 3:14, Alkitab TB).
Berpakaian sesuai menurut garis panduan Tuhan tidak akan mengubah cuaca. Namun tindakan ini melengkapkan si pemakainya.