Saya mempunyai seorang adik lelaki yang umurnya beza setahun dengan saya. Kami agak “suka bersaing” ketika membesar (dalam kata lain, kami bergaduh!). Bapa saya memahami keadaan kami itu kerana dia juga ada saudara-saudara lelaki, tetapi emak tidak berapa memahami.
Kisah kami boleh dikatakan sama dengan kisah dalam Kitab Kejadian yang mungkin boleh diberi tajuk, Sejarah Ringkas: Persaingan Antara Adik-beradik. Contohnya kisah Kain dan Habel (Kejadian 4); Ishak dan Ismael (Kejadian 21:8-10); Yusuf dan semua abangnya, kecuali Benyamin (Kejadian 37). Tetapi kebencian antara adik-beradik yang paling teruk berlaku di antara Yakub dan Esau.
Yakub, iaitu adik kembar Esau telah menipu dia dua kali, jadi Esau ingin membunuhnya (Kejadian 27:41). Beberapa dekad kemudian, Yakub dan Esau berbaik semula (Kejadian 33). Tetapi kebencian itu berlanjutan dalam keturunan mereka, iaitu bangsa Edom dan Israel. Ketika orang Israel telah bersedia untuk masuk ke Tanah Perjanjian, iaitu Kanaan, bangsa Edom keluar menghadapi mereka dengan ancaman peperangan dan pasukan tentera yang kuat (Bilangan 20:14-21). Lama setelah itu, bangsa Edom telah membunuh ramai orang Israel ketika mereka melarikan diri daripada tentera yang sedang menyerang Yerusalem (Obaja 1:10-14).
Berita yang gembira untuk kita adalah Alkitab bukan hanya mengandungi peristiwa sedih kerana kejatuhan kita, malahan juga mengisahkan penebusan Tuhan. Yesus telah mengubah segala-galanya dengan berkata kepada murid-murid-Nya, “Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain” (Yohanes 13:34). Kemudian Dia menunjukkan maksud kasih melalui kematian-Nya bagi pihak kita.
Apabila saya dan adik lelaki saya semakin membesar, kami menjadi semakin karib. Inilah pekerjaan Tuhan. Apabila kita menerima pengampunan yang diberikan-Nya, rahmat-Nya dapat mengubah kebencian kepada kasih persaudaraan.