Pada era 1960-an, kumpulan Kingston Trio telah mengeluarkan sebuah lagu yang bertajuk “Desert Pete”. Lagu itu mengisahkan seorang koboi yang kehausan telah menemui sebuah pam air ketika merentasi sebuah gurun. Di sebelah pam itu, ada sebuah balang yang berisi air disertakan satu nota daripada Desert Pete. Dia menggesa pembaca notanya agar tidak minum air dalam balang itu tetapi menggunakannya untuk mengisi pam air itu.

Koboi tersebut menahan diri daripada minum lalu menggunakan air itu seperti yang diarahkan dalam nota. Kerana ketaatannya pada arahan itu, akhirnya dia mendapat air sejuk yang berlimpah-limpah dan dapat memuaskan kedahagaannya sebagai ganjaran. Seandainya dia tidak percaya, maka dia hanya memperoleh sebalang air panas yang tidak dapat memuaskannya.

Kandungan lirik itu mengingatkan saya tentang perjalanan orang Israel di padang gurun. Ketika mereka amat kehausan (Keluaran 17:1-7), Musa berseru kepada Tuhan. Tuhan memerintahkan dia agar memukul batu dengan tongkatnya di Horeb. Musa mempercayai dan menurut perintah Tuhan, lalu air pun keluar dari batu itu.

Sedih sekali kerana orang Israel tidak terus mengikut teladan iman Musa. Akhirnya, “Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang didengar mereka tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman” (Ibrani 4:2).

Kadang-kadang kehidupan ini terasa gersang sekali seperti padang gurun. Tetapi Tuhan dapat menghilangkan kegersangan hidup ini tidak kira betapa buruk keadaannya. Jika kita percaya kepada janji-janji dalam firman Tuhan dengan iman, kita boleh menikmati air hidup dan rahmat Tuhan yang boleh memenuhi keperluan harian kita.