Hari jadi saya adalah sehari selepas hari jadi ibu saya. Semasa saya seorang anak remaja, saya akan tergesa-gesa memikirkan hadiah yang boleh menyenangkan hati ibu mengikut bajet yang saya ada. Dia sentiasa menghargai hadiah saya, dan apabila tiba giliran dia memberikan hadiah, biasanya hadiah itu jauh lebih baik jika berbanding hadiah saya. Namun ini tidak bermaksud dia hendak memperkecil pemberian saya; dia hanya menghadiahi saya menurut apa yang ada padanya, dengan murah hati dan jauh lebih baik.

Keinginan saya yang hendak memberikan hadiah kepada ibu membuatkan saya teringat tentang Daud yang juga teramat ingin mendirikan sebuah bait Tuhan, kerana dia melihat tabut perjanjian Tuhan berada di bawah khemah sedangkan dia tinggal di istana. Namun sebaliknya Tuhan memberikan hadiah yang jauh lebih baik kepada Daud, lebih daripada mengabulkan harapannya itu. Tuhan berjanji bahawa bukan sahaja salah seorang anak Daud (Salomo) yang bakal mendirikan bait Tuhan (1 Tawarikh 17:11), malahan pula sebuah dinasti akan dibina-Nya untuk Daud. Penunaian janji itu telah bermula daripada Salomo, tetapi kemuncak penunaiannya berlaku dalam Yesus kerana takhta-Nya akan kukuh selama-lamanya (ayat 12). Daud hendak membuat persembahan kepada Tuhan daripada sumbernya yang terhad, tetapi Tuhan memberikan sesuatu yang terus-menerus berkelimpahan.

Seperti Daud, semoga kita juga sentiasa digerakkan untuk memberi kepada Tuhan dengan perasaan syukur dan kasih. Semoga kita sentiasa melihat bahawa Tuhan memberikan Yesus sebagai hadiah yang tidak terhingga dan melimpah kepada kita.