Di luar tingkap pejabat saya, tupai-tupai bising menyediakan dan menyimpan bekalan makanan di tempat yang selamat untuk musim dingin. Saya geli hati melihat tingkah binatang-binatang yang bising itu. Sekawanan rusa boleh dengan senyap sahaja melalui halaman belakang rumah saya, tetapi bunyi bising seekor tupai kedengaran seolah-olah tercetusnya satu peperangan.

Ada satu lagi perbezaan antara dua makhluk ini. Rusa tidak menyediakan makanan untuk musim dingin dan makan apa sahaja yang ada (termasuk pokok hiasan renek di halaman belakang rumah kami). Tupai akan menjadi lapar jika tidak menyimpan makanan seperti rusa kerana makanan yang sesuai tidak akan dapat dicari pada musim dingin.

Rusa dan tupai mewakili cara Tuhan memelihara kita. Dia membolehkan kita bekerja dan menyimpan untuk masa depan, dan Dia memenuhi keperluan kita pada waktu kekurangan. Seperti ajaran dalam kitab Amsal, ada musim yang diberikan Tuhan agar kita boleh bersedia untuk menuai hasil yang melimpah ruah dan menyimpannya untuk musim yang seterusnya (Amsal 12:11). Mazmur 23 juga mengatakan, Tuhan akan membimbing kita melalui tempat yang bahaya hingga ke tempat yang aman.

Berkongsi kelebihan hasil tuaian dengan orang yang kekurangan adalah satu cara lain Tuhan membekalkan keperluan kita (Ulangan 24:19). Jadi pesanan Alkitab tentang mencukupkan bekalan adalah: Bekerja selagi boleh, jimat dan simpan selagi boleh, berkongsi selagi boleh, dan percaya bahawa Tuhan akan memenuhi keperluan kita.