Ketika kawan-kawan saya berpindah ke rumah baru, mereka menanam pokok bunga wisteria berhampiran pagar rumah dan berharap bunganya yang berwarna ungu muda akan mekar selepas lima tahun ditanam. Mereka dapat menikmati kecantikan dan kesuburan bunga itu selama dua dekad, dengan mencantas dan menjaga bunga-bunganya dengan baik. Tetapi tiba-tiba pokok bunga itu mati kerana tanah di sebelah pagar telah dituangi racun rumpai oleh jiran mereka. Mereka berfikir mungkin racun itu telah meresap ke akar bunga sehingga pokok itu mati. Tetapi di luar jangkaan mereka, pada tahun berikutnya, pokok itu bertumbuh lagi.

Pokok yang hidup dan yang musnah digunakan oleh nabi Yeremia sebagai gambaran tentang orang yang sama ada bergantung kepada Tuhan atau tidak. Orang yang bergantung kepada Tuhan adalah seperti pokok yang merambat akar-akarnya ke tepi sungai dan akan berbuah (Yeremia 17:8), tetapi orang yang bergantung kepada kekuatan sendiri adalah seperti semak di gurun (ayat 5-6). Nabi Yeremia amat menginginkan umat Tuhan akan bergantung pada Tuhan yang benar dan hidup, kerana mereka akan seperti “pokok yang ditanam di tepi air” (ayat 8).

Dalam Yohanes 15:1, kita mengetahui bahawa Bapa kita yang di syurga ialah “peladang anggur” dan kita boleh bergantung dan menaruh kepercayaan kita pada Tuhan (Yeremia 17:7). Semoga kita tetap mengikut Dia dengan sepenuh hati supaya kita menghasilkan buah yang kekal.