Sebelum saya dan suami saya menyerahkan hidup kami kepada Kristus, kami telah mempertimbangkan perceraian secara serius. Tetapi selepas membuat komitmen untuk mengasihi dan mentaati Tuhan, kami komited semula kepada satu sama lain. Kami mendapat kaunseling dan mengundang Roh Kudus untuk mengubah kami secara individu dan sebagai pasangan suami dan isteri. Bapa syurgawi juga menolong kami mewujudkan komunikasi yang sihat secara berterusan. Dia mengajar kami bagaimana mengasihi dan percaya kepada-Nya—dan kepada satu sama lain—tidak mengira apa jua yang berlaku.
Namun, walaupun kami akan merayakan ulang tahun perkahwinan yang ke-25, kadangkala saya terlupa akan segala yang telah dilakukan Tuhan ketika kami mengharungi ujian hidup. Kadang-kadang, saya melawan perasaan takut terhadap perkara yang tidak diketahui—saya berasa bimbang dan tidak bergantung pada bimbingan Tuhan yang terbukti nyata sebelum ini.
Dalam Ulangan 1, Musa menegaskan bahawa Tuhan adalah Tuhan yang boleh dipercayai. Dia mendorong orang Israel melangkah maju dan menduduki negeri yang dikurniakan Tuhan kepada mereka agar mereka menikmati pusaka mereka (ayat 21). Tetapi sebelum orang Israel meletakkan kepercayaan mereka kepada Tuhan, mereka terlebih dahulu ingin mengetahui apa yang bakal ditempuhi serta diperolehi mereka (ayat 22-33).
Pengikut-pengikut Kristus tidak dikecualikan daripada ketakutan atau kebimbangan. Kebimbangan akan kesukaran yang kita mungkin atau tidak mungkin hadapi pada masa depan boleh membuat kita tidak bergantung pada Tuhan dengan iman, malahan ia mungkin merosakkan hubungan kita dengan Tuhan dan orang lain. Tetapi Roh Kudus boleh membantu kita menyimpan rekod tentang kesetiaan Tuhan sejak masa lalu. Roh Kudus menguatkan kita untuk percaya dengan berani terhadap kebolehpercayaan Tuhan sejak dahulu, hari ini dan sampai selama-lamanya.