Ruth sering menitiskan air mata apabila menceritakan kisahnya. Umur Ruth sudah mencapai pertengahan 80-an dan tidak lagi kuat untuk ke sana ke sini, malah tidak dapat menyertai banyak aktiviti di gereja. Dia menumpang kereta orang untuk pergi ke gereja dan tidak mempunyai ramai kawan kerana dia hidup bersendirian.

Tetapi apabila dia menceritakan kisah penyelamatannya—yang selalu dilakukannya—Ruth tampil sebagai contoh anugerah Tuhan yang luar biasa. Menurutnya, ketika dia berumur dalam lingkungan 30-an, seorang kawan telah menjemput dia pergi ke satu perjumpaan pada suatu malam. Dia tidak tahu bahawa dia akan mendengar khutbah dalam perjumpaan tersebut. “Sekiranya saya tahu, saya tidak akan hadir,” katanya. Masa itu dia sudah mempunyai “agama,” dan menurutnya, khutbah tersebut tidak mendatangkan apa-apa faedah untuk dia. Bagaimanapun dia telah hadir dan mendengar berita baik tentang Yesus.

Kini, lebih daripada 50 tahun kemudian, Ruth masih menangis kerana gembira apabila menceritakan bagaimana hidupnya telah diubah oleh Yesus. Dia menjadi anak Tuhan pada malam itu. Kisah penyelamatannya masih diceritakan.

Itu bukan soal penting jika kisah kita serupa dengan kisah Ruth atau tidak. Yang penting adalah kita sudah mengambil satu langkah yang mudah untuk percaya kepada Yesus, serta kematian dan kebangkitan-Nya. Rasul Paulus berkata, “Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan” (Roma 10:9).

Itulah yang dilakukan oleh Ruth. Anda juga boleh melakukannya. Yesus menebus, mengubah hidup dan memberi kita hidup baharu.