Alihkan semua benda daripada meja kamu, keluarkan sekeping kertas dan pensel.” Ketika saya masih seorang pelajar, kata-kata yang amat ditakuti ini menandakan bahawa “masa ujian” telah tiba.

Dalam Markus 4, kita membaca bahawa hari Yesus telah bermula dengan pengajaran di pinggir laut (ayat 1), berakhir dengan pengujian di laut (ayat 35). Perahu yang telah digunakan sebagai pentas pengajaran juga digunakan untuk mengangkut Yesus dan murid-murid-Nya ke seberang laut. Dalam perjalanan (sementara Yesus yang keletihan tidur di bahagian belakang perahu), mereka berhadapan dengan angin ribut yang bertiup kencang (ayat 37). Para murid yang basah kuyup membangunkan Yesus dengan berkata, “Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!” (ayat 38). Kemudian sesuatu telah berlaku. Yesus yang telah menggesa orang ramai “Dengarlah!” pada awal hari itu (ayat 3), berkata dengan satu perintah yang singkat tetapi berkuasa kepada angin semula jadi—”Diam! Tenanglah!” (ayat 39).

Angin pun taat dan para murid yang berasa gerun berkata, “Siapakah Dia ini?” (ayat 41). Soalan itu baik tetapi mereka memerlukan masa untuk menyimpulkan secara jujur dan benar, bahawa Yesus ialah Anak Tuhan. Soalan-soalan yang ikhlas, jujur dan hati yang terbuka, serta pengalaman kita sendiri, segala ini akan memimpin orang membuat kesimpulan yang sama pada hari ini. Yesus bukan sahaja seorang guru yang harus kita dengarkan, Dia adalah Tuhan yang layak disembah.