Saya mengimbas kembali waktu saya sedang mencari sebuah gereja yang saya dapat hadiri secara tetap, seorang rakan menjemput saya untuk beribadat di gerejanya. Pemimpin pujian memimpin jemaah menyanyi sebuah lagu kesukaan saya. Saya pun bernyanyi dengan penuh semangat, sambil teringat nasihat pengarah koir kolej saya untuk “melaungkan” suara saya.

Selepas lagu itu, suami kawan saya melihat ke arah saya dan berkata, “Anda menyanyi dengan sangat lantang.” Kata-kata ini bukan bermaksud sebagai pujian! Selepas itu, saya dengan segan-silu mengawal nyanyian saya, memastikan saya bernyanyi dengan suara lebih perlahan daripada orang lain, dan sentiasa tertanya-tanya sama ada orang di sekeliling saya sedang mengadili nyanyian saya.

Tetapi pada suatu hari Ahad, saya memerhatikan nyanyian seorang wanita yang duduk di sebelah saya. Dia kelihatan menyanyi dengan penuh kasih tanpa perasaan segan. Penyembahannya mengingatkan saya tentang penyembahan bersemangat dan spontan Daud, yang ditunjukkan dalam hidupnya. Dalam Mazmur 98, Daud mencadangkan bahawa “seluruh bumi” harus “menyanyilah, bergembiralah, dan nyanyikanlah pujian” dalam penyembahan (ayat 4).

Ayat pertama dalam Mazmur 98 memberitahu sebab kita harus menyembah dengan gembira, serta mengingatkan kita bahawa “Dia telah melakukan perkara yang menakjubkan.” Sepanjang mazmur ini, Daud menceritakan perkara-perkara yang menakjubkan: kesetiaan dan keadilan Tuhan kepada semua bangsa, rahmat-Nya, dan penyelamatan. Dengan mengenal siapa Tuhan kita dan apa yang telah dilakukan-Nya, hati kita dapat dipenuhi dengan pujian.

Apakah “perkara menakjubkan” yang dilakukan Tuhan dalam hidup anda? Hari Kesyukuran adalah masa yang paling tepat untuk mengingat kembali tentang perbuatan-perbuatan ajaib-Nya, dan mengucap syukur kepada-Nya. Angkatlah suaramu dan bernyanyilah!