“Tuhan mengutus anda kepada saya pada malam ini!”

Inilah kata-kata perpisahan daripada seorang wanita yang berdiri di depan saya sewaktu kami melangkah keluar dari penerbangan yang menuju ke Chicago. Dia duduk bersebelahan saya di barisan lain, yang saya mendapati bahawa dia telah berada dalam beberapa penerbangan ulang-alik pada hari itu. “Jika anda tidak keberatan, bolehkah saya tahu sebab anda ingin berpatah pulang dengan terburu-buru?” tanya saya. Dia memandang ke bawah. “Saya baru memasukkan anak perempuan saya ke pusat pemulihan pada hari ini kerana dia menyalahgunakan dadah.

Pada saat-saat yang berikutnya, saya perlahan-lahan berkongsi tentang kisah pergelutan anak lelaki saya yang melawan ketagihan heroin dan bagaimana Yesus telah membebaskannya. Senyuman terukir di sebalik air mata wanita tersebut sewaktu dia mendengar perkongsian saya. Setelah kapal terbang mendarat, kami berdoa bersama-sama sebelum berpisah. Kami meminta Tuhan menghancurkan rantai dadah yang telah membelenggu anak perempuannya.

Pada petang itu, saya merenungkan kata-kata Paulus menurut 2 Korintus 1:3-4: “Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan. Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kita terima sendiri daripada Allah.”

Di sekeliling kita terdapat ramai orang yang memerlukan dorongan dengan penghiburan yang hanya dapat diberikan oleh Tuhan. Dia mahu kita mendekati mereka dengan belas kasihan dan berkongsi dengan mereka tentang kasih dan penghiburan Tuhan yang telah kita alami. Semoga Tuhan menghantar orang yang memerlukan penghiburan-Nya kepada kita pada hari ini!