“Menantikan ikan memakan umpan atau menantikan angin untuk menerbangkan layang-layang. Atau menanti kedatangan malam Hari Jumaat … semua orang sedang menanti” begitulah yang dikatakan oleh Dr. Seuss, seorang penulis bagi banyak buku kanak-kanak.
Banyak perkara dalam hidup melibatkan penantian, tetapi Tuhan tidak pernah terburu-buru—atau begitulah kelihatannya. Seperti pepatah lama yang boleh dipercayai ini: “Tuhan berkuasa atas waktu dan penangguhan-Nya.” Maka kita pun menantikan.
Namun masa menanti tidak mudah. Kita memusing-musing ibu jari, kita menyeret kaki, menahan daripada menguap, mengeluh panjang dan bersungut-sungut dalam kekecewaan. Mengapakah saya harus bertahan dengan orang yang teruk ini, kerja yang membosankan, perangai yang memalukan, masalah kesihatan yang berterusan? Kenapa Tuhan tidak datang dan memberikan pertolongan?
Jawapan Tuhan: “Nantikan sebentar dan perhatikan apa yang Aku akan lakukan.”
Menanti merupakan guru kehidupan yang terbaik kerana kita dapat mempelajari nilainya dalam menanti—menanti Tuhan bekerja dalam hidup kita dan untuk kita. Dalam penantian, kita membina ketahanan diri, iaitu kemampuan untuk berharap kepada kasih dan kebaikan Tuhan, walaupun apabila perkara-perkara yang berlaku tidak sejalan dengan apa yang kita harapkan (Mazmur 70:5).
Tetapi menanti tidak menjemukan dan membuat orang berasa sengsara serta berputus asa. Kita boleh “bergembira dan bersukacita kerana [Dia]” sementara kita menunggu (Mazmur 70:4). Kita menanti dalam pengharapan kerana kita tahu Tuhan akan menyelamatkan kita pada waktu-Nya—sama ada di dunia ini atau di dunia yang akan datang. Tuhan tidak pernah terburu-buru, masa-Nya selalu tepat.