Kami mendapati lawatan kami ke Gereja Christ Church di Stone Town, Zanzibar, sangat menyentuh hati kerana ia terletak di tempat yang dahulunya merupakan pasar menjual hamba abdi yang terbesar di Afrika Timur. Pereka bentuk gereja ini ingin menunjukkan Injil telah memutuskan belenggu perhambaan melalui simbol yang kelihatan. Tempat itu bukan lagi tempat yang menghasilkan kejahatan dan kekejaman yang dahsyat, melainkan tempat yang menyatakan kasih kurnia Tuhan.
Mereka yang telah membina gereja itu mahu menyatakan kematian Yesus pada kayu salib telah memberi kebebasan daripada dosa. Inilah yang dikatakan oleh Paulus sewaktu dia menulis suratnya kepada jemaah di Efesus: “Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya” (Efesus 1:7). Istilah penebusan di sini merujuk kepada idea berjual beli di pasar dalam Perjanjian Lama, iaitu seseorang membeli balik seseorang atau sesuatu benda. Yesus menebus seseorang yang diperhambakan oleh dosa dan kejahatan.
Dalam kata-kata pembukaan Paulus dalam surat ini (ayat 3–14), dia sangat bersukacita apabila memikirkan kebebasan dirinya dalam Kristus. Selepas memberikan pujian kepada Tuhan, Paulus mengarahkan perhatian kita kepada kasih kurnia Tuhan bagi kita melalui kematian Kristus, yang membebaskan kita daripada ikatan dosa. Kita tidak perlu lagi menjadi hamba dosa, kerana kita sudah dibebaskan untuk hidup bagi Tuhan dan kemuliaan-Nya.