Pekerjaan saya yang pertama adalah di sebuah restoran makanan segera. Pada suatu petang Sabtu, seorang lelaki asyik berkeliaran di restoran dan bertanya waktu saya tamat bekerja. Ini menjadikan saya tidak selesa. Waktu menjadi semakin lewat dan dia memesan kentang goreng dan minuman. Jadi pengurus restoran tidak boleh menghalaunya keluar. Walaupun saya tidak tinggal berjauhan, saya berasa takut untuk berjalan berseorangan melalui beberapa tempat meletak kenderaan yang gelap dan satu padang. Akhirnya, pada tengah malam, saya masuk ke dalam pejabat untuk membuat satu panggilan telefon.

Orang yang menjawab panggilan—bapa saya—dengan segera bangun dari katilnya dan tiba lima minit kemudian untuk menyambut saya pulang ke rumah.

Kepastian bahawa bapa saya akan datang membantu saya pada malam itu mengingatkan saya tentang kepastian yang kita baca dalam Mazmur 91. Bapa kita yang di syurga sentiasa menyertai kita, melindungi dan menjaga kita apabila kita bercelaru, berasa takut atau berada dalam kesusahan. Dia berkata: “Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya” (Mazmur 91:15). Dia bukan sahaja suatu tempat yang kita pergi untuk perlindungan. Dia ialah tempat perlindungan kita (ayat 1). Dia adalah Batu yang kita boleh bersandar untuk perlindungan (ayat 2).

Pada masa ketakutan, bahaya, atau ketidakpastian, kita boleh mempercayai janji-janji Tuhan bahawa apabila kita memanggil-Nya, Dia akan mendengar dan menyertai kita dalam kesusahan kita (ayat 14-15). Tuhan ialah tempat perlindungan kita.