Sayalah punca segala masalah ini, jadi saya sendiri perlu menyelesaikan semua ini, ada kala saya berfikir sedemikian. Sungguhpun saya percaya kepada kasih kurnia Tuhan, saya masih cenderung untuk berfikir bahawa pertolongan-Nya hanya wujud apabila saya layak.

Pertemuan Yakub yang pertama dengan Tuhan jelas menunjukkan bahawa tanggapan saya itu adalah salah.

Yakub menghabiskan banyak masa hidupnya untuk cuba mengubah takdirnya. Dia dilahirkan sebagai anak kedua pada waktu bahawa anak sulung yang biasanya akan menerima berkat daripada bapanya, serta dipercayai akan mewarisi kekayaan pada masa hadapan.

Jadi Yakub berpendirian untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan berkat daripada bapanya. Akhirnya, dia berjaya—melalui penipuan—memperoleh berkat yang sepatutnya diberikan kepada abangnya (Kejadian 27:19-29).

Namun akibatnya adalah sebuah keluarga yang porak peranda, dan Yakub melarikan diri daripada abangnya yang marah (ayat 41-43). Apabila menjelang waktu malam (28:11), Yakub pastinya berasa bahawa hidupnya sama sekali tidak diberkati.

Namun itulah masanya, ketika perjalanan hidupnya telah meninggalkan jejak yang penuh dengan penipuan, Yakub menemui Tuhan. Tuhan menunjukkan bahawa dia tidak perlu menggunakan helah untuk diberkati, dia sudah pun diberkati. Akhirnya, tujuan hidup yang jauh lebih besar daripada kekayaan harta benda telah diberikan (Kejadian 28:14), oleh Tuhan yang tidak akan meninggalkannya (ayat 15).

Ini suatu pelajaran yang akan dipelajari oleh Yakub seumur hidupnya.

Begitu juga dengan kita. Tidak kira betapa sesalnya kita berasa atau kita berpendapat bahawa Tuhan kelihatan sukar untuk dijangkau, Dia tetap hadir—dengan lemah lembut memimpin kita keluar daripada masalah kita kepada berkat-Nya.