Jurupandu acara rakit mengiringi kumpulan kami ke pinggir sungai serta memberi arahan agar kami memakai jaket keselamatan dan memegang pendayung. Ketika kami memasuki bot, dia menentukan tempat duduk kami untuk mengimbangi berat bot tersebut agar keadaannya stabil ketika kami mengharungi jeram. Selepas menerangkan hal-hal yang menyeronokkan yang akan kami alami, dia memberi arahan terperinci tentang perkara yang perlu kami dengar dan perlu ikuti, agar kami dapat mengemudikan bot dengan selamat. Dia memberi jaminan bahawa walaupun mungkin terdapat saat-saat tegang dalam perjalanan, namun ia akan menjadi menarik dan selamat.
Kadangkala kehidupan terasa seperti perjalanan merakit air, sesuatu yang mempunyai lebih banyak jeram daripada hal yang kita suka. Janji Tuhan kepada Israel melalui nabi Yesaya, boleh membimbing kita apabila kita berasa khuatir tentang perkara paling buruk yang sedang berlaku: “Apabila engkau mengharungi air, … engkau tidak akan dihanyutkan” (Yesaya 43:2). Orang Israel berhadapan dengan ketakutan yang kuat tentang penolakan Tuhan ketika mereka mengalami pembuangan akibat dosa mereka. Namun sebaliknya, Dia menjamin dan berjanji bahawa Dia akan menyertai mereka kerana Dia mengasihi mereka (ayat 2,4).
Tuhan tidak akan membiarkan kita bersendirian di air yang bergelora. Percayalah bahawa Dia akan membimbing kita melalui jeram—ketakutan yang paling besar dan kesusahan yang paling menyakitkan—kerana Dia juga mengasihi kita dan berjanji akan menyertai kita.