Sebagai seorang jurugambar yang bukan profesional, saya suka mengambil gambar tentang segala ciptaan Tuhan yang kreatif dengan kamera saya. Saya melihat cap jari-Nya pada setiap helai kelopak bunga yang halus, setiap terbitan matahari dan setiap waktu senja, serta reka bentuk Tuhan ke atas awan dan langit yang dihiaskan bintang-bintang yang berkelipan.

Pilihan kuasa zum yang ada pada kamera membolehkan saya turut mengambil gambar-gambar makhluk ciptaan Tuhan. Saya telah mengambil gambar seekor tupai yang sedang berceloteh di dalam pokok bunga ceri, seekor rama-rama berwarna-warni yang terbang dari sekuntum bunga ke sekuntum bunga yang lain, dan penyu-penyu laut yang sedang berjemur di pantai yang berbatu-batan hitam. Setiap gambar yang istimewa itu mendorong saya untuk menyembah Pencipta saya yang luar biasa.

Saya bukanlah orang pertama yang memuji Dia ketika mengagumi ciptaan-Nya yang unik. Penulis Mazmur 104 menyanyikan banyak karya seni Tuhan (ayat 24). Penulis menganggap “Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya—makhluk hidup yang kecil dan besar” (ayat 25) dan bersukacita dalam Tuhan kerana menyediakan penjagaan yang tetap dan sempurna untuk karya-karya agung-Nya (ayat 27-31). Dengan melihat keagungan hidup yang diberikan Tuhan di sekelilingnya, pemazmur menaikkan ucapan syukur: “Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup” (ayat 33).

Dengan merenungkan ciptaan Tuhan yang luar biasa dan hebat, kita dapat mengamati kreativiti-Nya yang bermakna serta perhatian-Nya yang terperinci. Seperti pemazmur, kita boleh bernyanyi kepada Pencipta kita dengan pujian kesyukuran kerana Dia sentiasa berkuasa, agung, dan penuh kasih. Haleluya!