Ibu bapa saya mengajar saya mencintai segala jenis muzik—daripada genre country ke klasik. Jadi hati saya berdegup dengan cepat ketika saya berjalan masuk ke dalam Konservatori Moscow, salah satu dewan muzik besar di Rusia, untuk mendengar Simfoni Nasional Moscow. Apabila konduktor memimpin para pemuzik memainkan satu karya muzik Tchaikovsky yang merdu, tema-tema membangun yang secara beransur-ansur mencapai satu krescendo yang hebat—klimaks muzik yang mendalam dan dramatik. Ini adalah saat yang ajaib, dan hadirin berdiri terpegun serta bertepuk tangan.

Alkitab mencapai krescendo yang paling hebat dalam sejarah: kayu salib dan kebangkitan Yesus Kristus. Pada saat-saat Adam dan Hawa terjerumus ke dalam dosa di Taman Eden, Tuhan berjanji bahawa seorang Penebus akan datang (Kejadian 3:15), dan sepanjang Perjanjian Lama berlangsung secara tema demi tema. Janji penebusan ditonjolkan melalui anak domba pada Hari Paskah (Keluaran 12:21), harapan-harapan para nabi (1 Petrus 1:10), dan kerinduan umat Tuhan.

1 Yohanes 4:14 mengesahkan arah yang kisah itu sedang menuju: “Kami telah melihat dan menyebarkan berita bahawa Bapa telah menghantar Anak-Nya sebagai Kristus, Penyelamat dunia ini.” Bagaimana? Tuhan memenuhi janji penyelamatan-Nya kepada dunia-Nya yang hancur ketika Yesus mati dan bangkit semula untuk mengampuni kita dan mendamaikan kita dengan Pencipta kita. Pada suatu hari kelak Dia akan datang lagi dan memulihkan semua ciptaan-Nya.

Semasa kita mengingat apa yang telah dilakukan oleh Anak Tuhan untuk kita, kita merayakan krescendo terbesar tentang rahmat dan penyelamatan Tuhan untuk kita dan dunia-Nya—Yesus!