Ketika rakan saya sedang beratur di kaunter untuk membayar barangan runcitnya, lelaki di hadapannya berpaling dan menyerahkannya satu baucar sebanyak £10 (kira-kira RM53) kepadanya. Dia mula menangis kerana perbuatan baik orang itu; kemudian dia mula tertawa akan dirinya kerana menangis. Kebaikan yang tidak dijangka itu menyentuh hatinya dan memberikannya harapan pada masa keletihan. Dia bersyukur kepada Tuhan kerana kebaikan-Nya yang telah ditawarkan melalui orang lain.

Tema memberi adalah salah satu topik yang ditulis oleh rasul Paulus kepada orang Kristian bukan Yahudi di Efesus. Dia memanggil mereka meninggalkan kehidupan lama mereka dan memeluk yang baru, serta mengatakan bahawa mereka telah diselamatkan oleh rahmat. Daripada rahmat ini, dia menjelaskan, kita digesa untuk “melakukan perbuatan baik,” kerana kita telah direka menurut gambaran Tuhan dan adalah “buatan” Dia (Efesus 2:10). Kita, seperti lelaki di pasar raya itu, boleh menyebarkan kasih Tuhan melalui tindakan sehari-hari kita.

Sudah tentunya, kita tidak perlu memberikan barangan untuk berkongsi rahmat Tuhan; kita boleh menunjukkan kasih-Nya melalui banyak tindakan lain. Kita boleh meluangkan masa untuk mendengarkan seseorang apabila mereka bercakap dengan kita. Kita boleh bertanya khabar kepada seseorang yang melayani kita. Kita boleh menghentikan urusan di tangan untuk membantu seseorang yang ada kekurangan. Apabila kita memberi kepada orang lain, kita akan mengalami sukacita sebagai balasan (Kisah Para Rasul 20:35).