Hati Kamil dan Joelle menjadi hancur apabila Rima, anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun dikesan menghidapi sejenis leukemia yang luar biasa. Penyakit ini mengakibatkannya terkena meningitis dan strok, dan Rima terus jatuh koma. Pasukan perubatan hospital itu menasihati ibu bapanya agar membuat persediaan untuk pengebumian Rima, memandangkan peluang untuk terus hidup adalah kurang daripada satu peratus.

Kamil dan Joelle berpuasa dan berdoa untuk satu mukjizat. “Apabila kita berdoa,” kata Kamil, “kita perlu mempercayai Tuhan tidak kira apa pun. Dan berdoa seperti Yesus—bukan menurut cara saya, Bapa, tetapi cara Engkau.” “Tetapi saya sangat menginginkan Tuhan menyembuhkan Rima!” Joelle menjawab dengan jujur. “Ya! Jadi kita harus meminta!” Kamil menjawab. “Kita sebenarnya menghormati Tuhan apabila kita menyerahkan diri kita kepada-Nya walaupun keadaan itu adalah sukar, kerana itulah yang dilakukan oleh Yesus.”

Sebelum Yesus disalibkan, Dia berdoa: “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan” (Lukas 22:42). Dengan berdoa “jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini,” Yesus meminta agar Dia tidak disalibkan pada kayu salib; tetapi Dia berserah kepada Bapa kerana kasih.

Keputusan yang menyerahkan keinginan kita kepada Tuhan adalah tidak mudah, dan kebijaksanaan-Nya boleh menjadi sukar untuk difahami pada detik-detik mencabar. Namun doa Kamil dan Joelle telah dijawab secara luar biasa—hari ini Rima adalah seorang remaja berumur lima belas tahun yang sihat.

Yesus memahami setiap pergelutan kita. Demi penyelamatan kita, walaupun permintaan-Nya tidak dijawab, Dia menunjukkan kita bagaimana untuk mempercayai Tuhan dalam setiap keadaan.