Ayah saya seorang yang baik, dan dalam banyak aspek, saya merupakan anak lelaki yang bertanggungjawab. Tetapi, saya tidak pernah meluahkan hati saya kepadanya.
Dia seorang pendiam; sedemikian juga dengan saya. Kami sering bekerjasama untuk melakukan sesuatu selama berjam-jam tanpa mengeluarkan sepatah perkataan. Dia tidak pernah bertanya; saya pun tidak pernah memberitahunya keinginan dan impian terdalam, harapan dan kebimbangan saya.
Kemudian, saya terjaga daripada sifat pendiam saya. Mungkin persepsi itu timbul ketika anak lelaki sulung saya dilahirkan, atau kelahiran anak yang berturut-turut. Sekarang saya berharap saya merupakan anak yang lebih terbuka kepada bapa saya.
Saya memikirkan segala perkara yang saya boleh beritahu kepada dia, dan segala perkara yang dia boleh beritahu kepada saya. Semasa pengebumian ayah saya, saya berdiri di tepi kerandanya, bergelut untuk menenangkan emosi saya. Isteri saya berkata dengan perlahan, “Ini sudah terlambat, bukan?” “Betul,” jawab saya.
Penghiburan saya terletak pada hakikat bahawa kita dapat menyembuhkan rasa kesal ini di syurga, kerana bukankah ia adalah tempat yang setiap titik air mata akan dihapuskan? (Wahyu 21:4).
Bagi orang yang percaya kepada Yesus, kematian bukanlah pengakhiran kasih, melainkan permulaan kepada perkara yang berkekalan: tiada lagi perselisihan faham; hubungan akan dipulihkan, dan kasih akan bertumbuh selama-lamanya. Di sana, hati anak-anak lelaki akan berbalik kepada para bapa mereka dan hati para bapa kepada anak-anak mereka (Maleakhi 4:6).