Ketika sepupu saya menjemput saya pergi memancing udang krai, saya berasa sangat teruja. Saya tersenyum lebar ketika dia memberikan saya sebuah baldi. “Tiada penutup?”

“Tidak perlu,” jawabnya sambil mengambil joran dan sebungkus kecil ketulan daging ayam sebagai umpan.

Selepas memancing untuk seberapa lama, baldi kami hampir penuh dengan udang krai. Saya memerhatikan udang-udang itu memanjat di belakang udang yang lain, cuba untuk melepaskan diri tetapi tidak berjaya. Lalu saya menyedari sebab kami tidak memerlukan penutup. Hal ini kerana apabila kerumunan itu mencapai di mulut baldi, yang lain akan menariknya ke bawah.

Keadaan sukar yang berlaku pada kerumunan udang itu mengingatkan kita bahawa betapa bahayanya jika memiliki sikap mementingkan diri daripada kepentingan komuniti. Paulus memahami kepentingan hubungan yang saling bergantung dan mendorong ketika dia menulis surat kepada orang percaya di Tesalonika. Dia menggesa mereka supaya “memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang” (1 Tesalonika 5:14).

Setelah memuji sikap mereka yang saling menggalakkan (ayat 11), dia mendorong mereka supaya mengamalkan hubungan yang lebih saling mengasihi dan hidup rukun (ayat 13-15). Dengan berusaha untuk mewujudkan budaya yang berunsurkan pengampunan, kebaikan dan belas kasihan, maka hubungan mereka dengan Tuhan dan orang lain akan semakin dikuatkan (ayat 15, 23).

Jemaah akan bertumbuh dan menjadi saksi bagi Kristus melalui kesatuan kasih seperti ini. Apabila orang percaya menghormati Tuhan, bertekad untuk menggalakkan orang lain dan bukannya menjatuhkan mereka melalui perkataan dan tindakan, maka kita dan komuniti kita pasti akan berkembang maju.