Dalam pertemuan pertama mereka, Edwin Stanton telah menghina presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dari segi peribadi dan profesional—bahkan menggelar dia sebagai “makhluk berlengan panjang.” Namun Lincoln menghargai kemampuan Stanton serta memilih untuk memaafkannya, bahkan akhirnya melantik Stanton untuk memegang satu jawatan kabinet penting semasa Perang Saudara. Stanton kemudiannya mula menjadikan Lincoln rakannya. Stanton duduk di tepi katilnya sepanjang malam, selepas presiden itu ditembak di Teater Ford. Pada saat Lincoln menghembuskan nafas terakhir, Stanton dengan air mata yang mengalir membisikkan kalimat, “Kini dia kembali ke pangkuan Tuhan.”
Perdamaian merupakan satu perkara yang indah. Rasul Petrus merujuk kepada pengikut-pengikut Yesus ketika dia menulis, “Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni” (1 Petrus 4:8). Kata-kata Petrus ini menyebabkan saya tertanya-tanya jika ini disebabkan dia teringat tentang penyangkalannya sendiri terhadap Yesus (Lukas 22:54-62), dan pengampunan yang ditawarkan oleh Yesus kepadanya (dan kita) melalui kayu salib.
Kasih terdalam yang ditunjukkan oleh Yesus melalui kematian-Nya pada kayu salib membebaskan kita daripada hutang dosa, dan membuka jalan bagi perdamaian kita dengan Tuhan (Kolose 1:19-20). Pengampunan-Nya memberi kita kuasa untuk mengampuni orang lain kerana kita menyedari bahawa kita tidak dapat mengampuni dengan kekuatan sendiri, melainkan dengan memohon pertolongan daripada Tuhan. Apabila kita mengasihi orang lain kerana Penyelamat kita mengasihi mereka, dan kita mengampuni kerana Dia telah mengampuni kita, maka Tuhan akan memberikan kita kekuatan untuk melepaskan masa lalu dan berjalan maju bersama Dia untuk menikmati berkat-berkat yang baharu.