Penulis terkenal, Ernest Hemingway pernah ditanya sama ada dia boleh menulis cerita yang menarik dengan menggunakan enam perkataan. Responsnya: “Jualan: Kasut bayi. Tidak pernah dipakai.” Kisah Hemingway ini adalah sangat hebat kerana ia memberi inspirasi kepada kita untuk mengisi perincian tersebut. Adakah kasut tersebut cuma kasut yang tidak diperlukan lagi oleh seorang anak yang sihat? Atau adakah seseorang pernah mengalami kehilangan yang tragis—sesuatu yang memerlukan kasih dan penghiburan daripada Tuhan?

Kisah-kisah terbaik menimbulkan imaginasi kita. Oleh yang demikian, tidak hairan apabila kisah terbesar yang pernah diceritakan akan membangkitkan kreativiti kita. Kisah Tuhan mempunyai plot utama: Dia menciptakan segala sesuatu; kita (manusia) jatuh ke dalam dosa; Yesus datang ke dunia, mati dan bangkit daripada kematian untuk menyelamatkan kita daripada dosa kita; dan sekarang kita menantikan kedatangan-Nya serta pemulihan bagi segala sesuatu.

Setelah mengetahui apa yang telah berlaku sebelum ini dan apa yang akan berlaku, bagaimanakah kita hendak hidup pada masa sekarang? Sekiranya Yesus memulihkan seluruh ciptaan-Nya daripada cengkaman kuasa jahat, maka kita mesti “berhenti melakukan perkara-perkara yang dilakukan dalam kegelapan … lengkapi diri seolah-olah dengan senjata yang digunakan dalam terang” (Roma 13:12). Ini termasuklah bertaubat daripada dosa dengan kuasa Tuhan serta memilih untuk mengasihi Dia dan orang lain dengan sebaiknya (ayat 8-10).

Cara-cara spesifik untuk melawan kejahatan bersama Yesus adalah bergantung kepada jenis kurnia yang ada pada kita, dan apa yang perlu kita lihat. Marilah kita menggunakan imaginasi kita dan melihat di sekeliling kita. Marilah kita mencari mereka yang terluka dan menangis, serta menghulurkan keadilan, kasih dan penghiburan sesuai dengan pimpinan-Nya.