Kehidupan saya sering berada dalam kegelisahan dan kesibukan. Saya tergesa-gesa untuk menghadiri banyak janji temu, menjawab panggilan telefon dan menyemak senarai tugas yang seolah-olah tiada kesudahan dalam perjalanan. Oleh sebab keletihan pada suatu hari Ahad, saya rebah ke dalam buaian kanvas di belakang rumah kami. Telefon saya berada di dalam rumah, begitu juga dengan anak-anak dan suami saya. Pada mulanya saya hanya ingin duduk seketika, tetapi dalam keadaan yang senyap dan tanpa gangguan, saya mula melihat benda-benda yang menarik saya untuk duduk dengan lebih lama. Saya dapat mendengar keriang-keriut buaian kanvas yang lembut, dengungan lebah pada lavender berdekatan, dan bunyi kelepak sayap burung di atas kepala. Langit kelihatan biru terang, dan awan bergerak mengikut arah angin.

Pada masa itu air mata meleleh di pipi saya, kerana saya menyedari dan tersentuh akan kenyataan bahawa segala ini adalah ciptaan Tuhan. Ketika saya mengambil masa untuk menikmati banyak perkara yang indah dalam penglihatan dan pendengaran saya, saya didorong untuk menyembah Tuhan dengan penuh kesyukuran atas kuasa kekreatifan-Nya. Penulis Mazmur 104 juga berasa terkagum dengan karya tangan Tuhan, sambil menyatakan “bumi penuh dengan berkat-Mu” (ayat 13).

Di tengah-tengah kehidupan yang kacau-bilau, masa senyap dapat mengingatkan kita akan kekreatifan karya Tuhan! Dia mengelilingi kita dengan bukti kekuatan dan kelembutan-Nya; Dia menciptakan gunung-ganang yang tinggi dan dahan pokok untuk burung-burung. “Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya!” (ayat 24).