Kedai kopi yang terletak di bandar berhampiran dengan rumah saya dinamakan Fika. Ini adalah perkataan Sweden yang bermaksud beristirahat dengan menikmati kopi dan pastri, dan selalunya dilakukan bersama-sama keluarga, rakan sekerja, atau rakan-rakan lain. Saya bukan orang Sweden, tetapi semangat fika ini menjelaskan satu perkara yang paling saya suka tentang Yesus—amalan-Nya untuk beristirahat sambil makan dan bersantai dengan orang lain.

Terdapat sarjana yang mengatakan bahawa masa-masa makan Yesus tidak rambang. Ahli teologi Mark Glanville menyebutnya sebagai “‘juadah kedua’ yang menggembirakan” tentang pesta dan perayaan Israel dalam Perjanjian Lama. Di atas meja, Yesus hidup dengan apa yang dikehendaki Tuhan untuk Israel: “pusat untuk sukacita, perayaan dan keadilan bagi seluruh dunia.”

Sejak peristiwa yang memberi makan kepada 5,000 orang, sehingga kepada Jamuan Paska—bahkan untuk makan bersama dengan dua orang percaya selepas kebangkitan-Nya (Lukas 24:30)—pelayanan meja Yesus mengajak kita berhenti daripada melakukan pekerjaan yang berterusan, dan tinggal dalam Dia. Sesungguhnya, hanya sampai saat makan dengan Yesus, barulah kedua-dua orang percaya itu mengenali Dia sebagai Tuhan yang telah bangkit. “Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus” (ayat 30-31).

Baru-baru ini, apabila saya duduk sambil menikmati minuman coklat panas dan kek gulung di Fika dengan seorang rakan, kami juga bercakap-cakap tentang Yesus. Dialah Roti yang memberikan hidup. Semoga kita berlengah-lengah duduk di meja-Nya dan mengenali Dia dengan lebih dalam lagi.