Saya tertarik apabila saya melihat tatu mengenai sebiji bola boling menjatuhkan pin-pin di buku lali kawan saya, Erin. Erin terdorong untuk mendapatkan tatu yang unik ini selepas mendengar lagu Sara Groves, “Mengaturkan Pin.” (Setting Up the Pins). Lirik lagu ini dengan bijak mendorong para pendengar mencari sukacita dalam tugas yang berulangan dan rutin yang kadangkala dirasai tidak bererti, seperti mengaturkan pin boling berkali-kali, tetapi dijatuhkan oleh seseorang kemudian.

Mencuci pakaian. Memasak. Memotong rumput. Kehidupan seolah-olah penuh dengan tugas. Setelah segala diselesaikan, ia perlu dilakukan lagi—dan lagi. Ini bukannya suatu pergelutan baru, tetapi merupakan kekecewaan lama yang dihadapi oleh orang dalam kitab Pengkhutbah. Kitab ini bermula dengan penulis yang mengadu tentang kitaran kehidupan harian yang tidak berkesudahan sebagai sia-sia (1:2-3), bahkan tidak bererti, kerana “Hal yang telah berlaku dahulu, akan berulang lagi. Apa yang telah dilakukan dahulu, akan dilakukan lagi” (ayat 9).

Namun, seperti kawan saya, penulis ini mampu mendapatkan kembali sukacita dan tujuan hidup dengan mengingat bahawa kepuasan utama kita datang apabila kita “Hormatilah Allah, dan taatilah segala perintah-Nya” (12:13). Kita boleh berasa aman ketika mengetahui bahawa Tuhan juga memperhatikan aspek kehidupan kita yang kelihatan normal, dan akan memberi ganjaran untuk kesetiaan kita (ayat 14).

Apakah “pin-pin boling” yang anda sentiasa aturkan? Pada waktu-waktu apabila tugas yang berulangan itu mula meletihkan, semoga kita meluangkan sedikit masa untuk mempersembahkan setiap tugas kepada Tuhan sebagai persembahan kasih.