Haralan Popov tidak tahu apa yang akan berlaku ke atas hidupnya sewaktu loceng pintu berbunyi pada awal pagi tahun 1948. Tanpa sebarang amaran, polis Bulgaria telah menahan Haralan kerana imannya. Dia menghabiskan masa selama 13 tahun yang seterusnya di penjara. Semasa ditahan, dia berdoa untuk kekuatan dan keberanian. Walaupun dilayani dengan buruk, dia tahu Tuhan menyertainya dan dia berkongsi Berita Baik Yesus dengan banduan-banduan lain, dan ramai telah menjadi orang percaya.
Menurut kisah dalam kitab Kejadian 37, Yusuf tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya setelah dia dijual dengan kejam oleh abang-abangnya yang marah terhadapnya. Mereka menjual Yusuf kepada para pedagang yang kemudian mengambil serta menjualnya kepada Potifar, seorang pegawai Mesir. Yusuf mendapati diri dikelilingi oleh orang yang mempercayai beribu-ribu tuhan. Keadaannya bertambah buruk apabila isteri Potifar cuba menggoda Yusuf. Apabila Yusuf berulang kali menolak isteri Potifar, dia menudingkan tuduhan salah terhadap Yusuf, akibatnya dia dimasukkan ke dalam penjara (39:16-20). Namun Tuhan tidak meninggalkan Yusuf. Tuhan bukan sahaja menyertai Yusuf, malah Dia “memberi [dia] kejayaan dalam segala yang dilakukannya”, bahkan “menolong Yusuf dan tetap mengasihinya”, sehingga pihak berkuasa pun suka kepadanya (39:3,21).
Bayangkan ketakutan yang dirasakan oleh Yusuf. Namun dia tetap setia dan memelihara integritinya. Tuhan menyertai Yusuf dalam perjalanan hidupnya yang sukar dan mempunyai satu rancangan yang sangat besar untuknya. Tuhan juga mempunyai rancangan untuk anda. Kuatkan hati dan berjalanlah dalam iman, percaya bahawa Tuhan melihat dan mengetahui situasi anda.